Setelah dikecam teruk dek kerana lagu terbaru beliau, Bobo Di Mana, Datuk Aliff Syukri sedia menerima tawaran untuk menyanyikan lagu-lagu nasyid dan juga yang berbentuk kerohanian.

Aliff Syukri berkata, setelah beliau menerima kritikan dan kecaman hebat kerana lagu tersebut, beliau bersedia menerima tawaran untuk menyanyikan lagu nasyid setelah ramai netizen meminta beliau bersetuju dan mengambil peluang tersebut dengan sebaiknya.

“Sejujurnya, saya ada menerima tawaran menyanyikan lagu nasyid daripada beberapa orang composer, tetapi masa itu hanya borak-borak kosong sahaja.”

“Saya mungkin akan mempertimbangkan untuk menerima tawaran tersebut kerana semua lagu yang saya nyanyi asyik kena kecam sahaja.”

“Saya harap anda semua tak kecam-kecam lagi, doakan yang terbaik untuk saya sebab manusia ini boleh berubah-ubah.”

Dalam pada itu, isteri beliau ada memuat naik video rakaman di laman Instagram yang menunjukkan Datuk Alff Syukri mengadakan pertemuan bersama dengan penyanyi dan komposer, Hafiz Hamidun.

Isteri beliau, Datin Seri Nur Shahida Mohd Rashid berkata, sekiranya suaminya sangat teringin untuk menjadi penyanyi, beliau sebagai seorang isteri sepatutnya menyokong dan memberi nasihat untuk menyanyikan lagu-lagu yang berunsurkan kerohanian pula.

“Kita suruh Aliff nyanyi sebab Hafiz Hamidun dah buat lagu, tinggal nak nyanyi sahaja. Insya-Allah kita akan pastikan dia nyanyi lagu nasyid.”

“Dia memang tahu suara dia tak berapa nak sedap tapi sebab suka nak jadi artis, kita usahakanlah dia jadi artis nasyid. Siapa sokong?”

Kita nantikan sahaja lagu terbaru nyanyian Datuk Aliff Syukri sendiri dalam versi nasyid dan berunsurkan kerohanian.

© 2024 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group