Haha atau nama sebenar Ha Dong Hoon, penyanyi dan juga peserta program reality popular Korea, Running Man yang sangat diminati dan menjadi kegilaan di kalangan penonton di seluruh negara berikutan adegan lucu dan spontan peserta, baru-baru ini telah berkongsi satu video fesyen dan rekaan Projek Jahat di laman Instagram beliau.

Haha telah menarik perhatian netizen di Malaysia bahkan di luar negara apabila tindakan beliau yang berkongsi satu video koleksi fesyen anak muda Malaysia yang memaparkan beberapa model.

ma bratha~~~~!!!!!!!

A post shared by ha dong hoon (@quanhaha79) on

Pengasas Projek Jahat, Mohd Faizal Isa berkata, Haha yang dikenali beliau sejak akhir tahun lalu apabila Haha kerap menghubungi beliau  dan bertanyakan berkaitan koleksi Projek Jahat sehingga mereka menjadi akrab, sama sekali tidak menyangka Haha bakal berkongsi video tersebut kerana ia bukan satu promosi yang berbayar.

Mohd Faizal berkata, Haha seorang yang sangat suka berfesyen dan sentiasa menitikberatkan setiap perincian fesyen yang ditampilkan melalui penggayaan beliau dan oleh kerana itu Haha berminat dengan koleksi Projek jahat kerana Projek Jahat merupakan koleksi fesyen yang mempunyai rekaan yang terperinci dan mesej seni.

“Haha ni seorang yang peramah juga lucu, sama lucu semasa dia dalam Running Man. Tapi secara peribadi, dia seorang yang sangat profesional terutama jika berkaitan kerja.”

“Haha juga seorang yang suka berfesyen dan penampilannya sering menjadi perhatian. Jadi, dia begitu teliti dan menghargai setiap perincian.”

Mohd Faizal berkata lagi, Haha sering bertanyakan akan maksud di setiap penulisan yang tertera pada koleksi Projek Jahat dek kerana penulisannya dalam Bahasa Melayu dan sekaligus Haha ada mempelajari sedikit Bahasa Melayu daripada beliau.

“Haha akan tanya saya apa idea baharu, apa yang saya buat untuk koleksi yang akan datang. Kadang-kadang, Haha akan tanya saya tulisan yang tertera pada koleksi Projek Jahat memandangkan ia dalam bahasa Melayu.”

“Dia mahu tahu apakah maksudnya dan minta saya perjelaskannya secara terperinci. Nampaknya Haha selalu juga ‘masuk’ kelas bahasa Melayu saya. Mari belajar bahasa!,” katanya secara berseloroh, sambil menambah mempunyai rancangan untuk berkolaborasi dengan Haha pada masa akan datang.”

Melalui perkongsian video yang dilakukan Haha, ia sedikit sebanyak dapat membantu Projek Jahat untuk terus mempromosikan dan memperkukuhkan penjenamaan dalam Bahasa Melayu.

“Saya memang nak orang kita dan orang luar kenali sesuatu label atau produk walaupun namanya dalam bahasa Melayu.”

“Kesusasteraan dalam bahasa Melayu lebih tinggi, dan bukannya ‘straight forward’ berbanding bahasa Inggeris. Seni bukan sahaja pada idea, rekaan dan fesyen semata-mata tetapi juga pada bahasanya.”

© 2024 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group