Semalam heboh di Twitter mengenai perkongsian sedutan drama Mona Lisa di akaun @nuraqidahajeera yang menunjukkan satu babak yang menampilkan Zara Zya dan Hafreez Adam sedang berjumpa dengan doktor. Babak tersebut memaparkan seorang doktor mengesahkan salah satu watak drama tersebut hilang ingatan hanya melalui imbasan sinar-X.

Babak ini sudah pastinya menerima kecaman daripada netizen. Pengguna Twitter berpendapat kesilapan fakta yang tidak masuk akal sebegini merupakan salah satu sebab kurangnya sokongan dari netizen untuk menonton drama melayu. Tweet ini turut mendapat perhatian seorang doktor bertauliah yang tidak asing lagi dalam kalangan pengguna Twitter, Dr. Beni Rusani. Beliau menjelaskan bahawa imbasan sinar-X tidak boleh menentukan seseorang individu hilang ingatan.

Berikutan itu pengarah drama Mona Lisa, Shahrul Ezad tampil memohon maaf atas kesilapan fakta dan mengakui kesilapan tersebut berlaku kerana pihaknya tidak mendapatkan nasihat dari ahli perubatan terlebih dahulu. Tambahnya lagi kesilapan ini berlaku apabila penulis menterjemah babak daripada episod asal tanpa meminta sebarang nasihat dari pakar sesuatu bidang terlebih dahulu.

Diharapkan agar insiden ini menjadi pengajaran kepada pihak pengarah dan penulis skirp untuk lebih berhati-hati dan merujuk kepada golongan pakar dalam sesuatu bidang dahulu sebelum menjalankan penggambaran bagi mengelakkan kesilapan fakta berlaku dan menjamin kualiti industri hiburan tempatan.

© 2024 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group