Program realiti Big Stage yang telah berlangsung selama 8 minggu telah melabuhkan tirai pada malam semalam di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Pengkahiran pentas Big Stage disaksikan dengan pengumuman Sarah Suhairi sebagai juara pertama dalam pentas Big Stage pada kali ini.

Sarah yang memperoleh markah 66.05 peratus dengan dua nyanyian beliau iaitu, Awan yang Terpilu dan single terbaru, Nyawa dan Raga telah dinobatkan sebagai juara serta membawa pulang RM100, 000 berserta trofi.

Sarah yang ditemui setelah dinobatkan sebagai juara, mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang sentiasa menyokong beliau sepanjang menyertai program Big Stage ini.

“Alhamdulillah, kemenangan ini atas sokongan semua yang tak henti-henti memberi semangat sepanjang saya di pentas ini.”

Tidak dilupakan juga kepada finalis yang lain yang turut mendapat gelaran naib juara sehingga tempat kelima iaitu Syafiq Farhain yang menyandang selaku naib juara, Afieq Syazwan yang mendapat tempat ketiga, begitu juga dengan Wani Kayrie dan Baby Shima yang memenangi tempat keempat dan kelima.

Mengikut perjumlahan markah antara peserta, peringkat akhir kali ini merupakan pertandingan yang sengit kerana perbezaan markah di antara mereka begitu hampir.

Program tersebut juga diakhiri dengan acara kemuncak dengan kemunculan penyanyi jemputan istimewa, iaitu Alec Benjamin dengan menyanyikan lagu Let Me Down Slowly.

© 2024 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group