Bersempena New York Asian Film Festival 2018 (NYAFF) ke-17, filem Dukun arahan Dain Said terpilih untuk ditayangkan dan dipertandingkan di acara tersebut.

Filem Dukun mencipta fenomena apabila berjaya mengutip RM11 juta selepas ditayangkan di tiga buah negara iaitu Malaysia, Brunei dan Singapura pada 5 April yang lalu.

Bertempat di School of Visual Arts (SVA) Theatre, New York, filem Dukun akan ditayangkan dan menurut Astro Shaw, filem berkenaan akan dipertandingkan menerusi kategori Audience Awards yang mana pemilihan dibuat berdasarkan undian pengkarya dan penonton filem tempatan.

Festival tersebut dianjurkan untuk memberikan pendedahan kepada filem Asia untuk diiktiraf dan ditayangkan di New York.

Ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan buat kita kerana filem Dukun akan membawa nama baik Malaysia di persada antarabangsa. Diharap filem Dukun akan memenangi anugerah untuk kita rakyat Malaysia.

© 2024 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group