Pengarah dan penerbit filem, Datuk Yusof Haslam telah difailkan saman oleh Elias, penulis novel berjudul Aku Bohsia pada 24 November 2014 kerana isu hak cipta filem ‘Bohsia, Jangan Pilih Jalan Hitam’ untuk novel tulisan beliau, ‘Aku Bohsia’.

Baru-baru ini, Datuk Yusof Haslam telah memperoleh kebenaran mencabar keputusan Mahkamah Rayuan berkaitan hak cipta novel itu setelah peguam yang mewakili beliau, Haniff Khatri Abdullah dan pihak Datuk Yusof Haslam memberikan hujah dan mengemukakan persoalan bagaimana pihak Mahkamah Rayuan dapat memberi keputusan tanpa membandingkan filem ‘Bohsia, Jangan Pilih Jalan Hitam’ dan novel ‘Aku Bohsia’ terlebih dahulu.

“Kami mengatakan bagaimana Mahkamah Rayuan boleh membuat keputusan begitu tanpa melihat atau membandingkan filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam’ dengan novel Bohsia ini. Bagaimanapun kami akan kemuka semua hujah itu ketika pendengaran nanti.”

“Dua persoalan undang-undang dibenarkan dan ia menjurus kepada isu penting iaitu berkaitan konsep hak cipta di arena percetakan dan hiburan iaitu filem. Kami akan membangkitkan sama ada percetakan itu dengan sendirinya memadai untuk membuktikan dalam undang-undang berhubung isu plagiat ini.”

“Selain itu kami juga akan mengemukakan pertikaian adakah mahkamah wajib membandingkan di antara novel dengan filem bagi menentukan adakah terdapat persamaan atau tidak.”

Panel hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum membenarkan permohonan rayuan berkaitan saman yang difailkan ke atas DatukYusof Haslam setelah mendengar hujah tersebut namun tarikh rayuan masih belum ditetapkan lagi.

© 2024 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group